Soalan
SAYA berusia 32 tahun, bekerja di pejabat manakala suami pula menganggur selama lebih tujuh tahun. Oleh kerana tidak tahan dan malu dengan sikapnya yang enggan bekerja saya terpaksa keluar dari rumah mertua dan menyewa bilik seorang diri. Suami masih tinggal bersama keluarganya sendiri.
Semua perbelanjaan rumah, kereta dan pakaiannya saya yang sediakan. Malah wang sakunya pun dia minta daripada saya. Akhirnya, saya membuat tuntutan cerai ke atas suami saya di pejabat agama, tetapi suami enggan menceraikan saya. Sudah banyak kali kami berulang ke pejabat agama untuk menyelesaikan masalah ini, namun tidak berhasil. Sehingga kini sudah hampir 11 bulan saya hidup menyendiri. Setiap kali saya ajukan perkara ini pada suami, dia buat endah tak endah. Apakah yang patut saya lakukan? Tidak adakah cara saya menuntut keadilan?
- Delinda Naseem, Kangar, Perlis.
Jawapan
Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab dan hak masing-masing yang perlu ditunaikan dan dipenuhi di antara satu sama lain. Suami bertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri semasa dalam perkahwinan dan menjaga kebajikan serta permasalahan isteri.
Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarga (isteri, anak dan kerabat). Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.”Sikap suami yang enggan bekerja dan menganggur selama lebih tujuh tahun membuktikan yang dia telah abai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.
Walaupun suami puan enggan menceraikan, puan masih boleh meneruskan tuntutan untuk bercerai dengan terus mendaftarkan tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah Perlis. Puan boleh membuat permohonan untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh sebagaimana termaktub dalam peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perlis) 1999.
Dalam peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam (Negeri Perlis) 1999, menyatakan bahawa seorang perempuan yang telah berkahwin mengikut hukum syarak berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut:
* suami tidak diketahui tempat tinggalnya selama lebih daripada setahun.
* suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama 3 bulan.
* suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
* suami tidak menunaikan kewajipan nafkah batin tanpa sebab selama satu tahun.
* suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian
* isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk.
* suami telah gila selama tempoh dua tahun
* suam menghidap kusta atau vitiligo atau mengidap penyakit kelamin berjangkit.
* apabila isteri dikahwinkan, dia belum mencapai umur 16 tahun
* isteri menolak perkahwinan tersebut sebelum dia berumur 18 tahun
* isteri belum disetubuhi oleh suaminya.
* suami telah menganiaya isteri, menyakiti, menjadikan kehidupan isteri menderita
* suami telah berkawan dengan wanita yang tidak baik mengikut hukum syarak
* suami telah memaksa isteri hidup secara lucah
* suami telah melupuskan harta isteri
* suami telah melarang isteri dari menggunakan haknya ke atas harta tersebut
* suami menghalang isteri daripada menjalankan kewajipan atau amalan agama
* suami berpoligami telah tidak melayani isteri secara adil menurut hukum syarak.
* belum empat bulan berlalu, isteri masih belum disetubuhi
* suami telah enggan bersetubuh dengan isteri.
* Isteri tidak merestui perkahwinan di antara mereka:
* isteri telah dipaksa untuk berkahwin atau tidak sempurna akal
* Isteri menghadapi penyakit kurang siuman.
*Apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinan di bawah hukum syarak.
Puan boleh memfasakhkan perkahwinan puan sebagaimana termaktub dalam seksyen 52 tersebut dengan sebab suami puan telah cuai menyediakan nafkah selama tempoh lebih daripada tiga bulan, malah puan pula yang menanggung suami.
Borang permohonan fasakh boleh didapati dari kaunter pendaftaran mahkamah secara percuma. Jika puan memerlukan bantuan untuk mengisi borang permohonan tersebut, mungkin pegawai mahkamah boleh membantu. Puan juga boleh meminta bantuan daripada petugas di Pusat Bantuan Guaman
Adalah penting untuk puan mengetahui alamat tempat tinggal suami puan yang tepat untuk diisi dalam borang permohonan tersebut, kerana ini dapat memudahkan Mahkamah menghantar saman berkenaan permohonan puan untuk memfasakhkan perkahwinan kepada suami.
Permohonan puan perlu didaftarkan di mahkamah dengan bayaran sebanyak RM49. Selepas 21 hari dari tarikh permohonan puan didaftarkan, mahkamah akan menetapkan tarikh pertama untuk mendengar permohonan tersebut.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Panel Peguam Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya atau telefon 03-7785 6121pada hari Isnin dan Jumaat sahaja atau faks 03-7785 8737 atau e-mel: sistersinislam@pd. jaring.my.



No comments:
Post a Comment