Saturday, August 29, 2009

Suami perangkap isteri dengan hutang bank

Mingguan Malaysia : 11/04/1999

Di celah-celah kehidupan

"Apabila saya membaca kisah suami bercinta dalam Internet dulu, ia terus menarik perhatian saya untuk bercerita tentang pengalaman saya. Saya rasa saya tidak malu untuk bercerita sekarang. Dulu memang saya malu nak tengok muka saudara pun rasa tebal muka, sedangkan mereka tak tahupun cerita atau kekecohan dalam rumah tangga saya.
"Bagaimanapun, pada pandangan saya masalah dalam rumah tangga hari ini bukan seorang dua sahaja wanita yang menghadapinya, memang ramai juga, tetapi mereka tidak semuanya berani untuk bercakap apa lagi untuk membawa masalah mereka ke mahkamah.

"Contohnya masalah saya. Dulu memang saya hampir separuh mati apabila menghadapi masalah ini, tetapi sekarang saya tidak mengambilnya sebagai suatu yang serius lagi.
Pada saya dia cuma pada namanya sahaja suami, tetapi bukan dalam erti kata dalam hati saya yang sebenar.
"Saya rasa cinta antara kami sudah lama mati. Saya juga hilang rasa cinta terhadapnya, tetapi saya terpaksa duduk dalam rumah ini kerana anak-anak, saya mahu anak-anak saya bersekolah dan dapat meneruskan hidupnya dengan sempurna, masanya masih panjang, sedangkan saya sudah 30 tahun, dan saya tak terfikir untuk kahwin lagi, walaupun saya akan diceraikan pada masa depan.

"Sebenarnya apabila saya dapat tahu hal suami saya main kayu tiga dengan wanita lain, saya sudah minta dia ceraikan saya. Saya katakan tak guna kita hidup dalam pura-pura, sedangkan antara kita sudah tidak ada apa-apa lagi, tetapi dia tak mahu ceraikan saya, sebaliknya masih terus dengan aktiviti mencintai wanita lain.
"Saya tidak mengadu masalah saya kepada ibu bapa saya sebab saya tak mahu mereka susah hati, saya mahu uruskan diri dan keluarga sendiri.

"Saya katakan kepada dia kalau dia mahu kami hidup dalam aman dan harmoni, ceraikan saya, tetapi dia mestilah jaga anak-anak dengan memberi nafkah. Saya katakan tak guna rajin ke masjid tunjuk alim, pakai jubah bila ke surau waktu malam sedangkan keadaan dalam rumah tangga tidak seperti yang digambarkan.
"Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu ceraikan saya kerana malu pada jiran keliling, jadi dia tetap balik ke rumah bila ada waktu dan sesuka hatinya, sedangkan antara kami perasaan bersuami isteri sudah tidak ada lagi.

"Kami tidur berasingan, kerana pada saya dia hipokrit, pembohong sebab menunjuk-nunjuk diri sebagai orang baik sedangkan kelakuan tak seperti yang digambarkan.
"Kalau dia seorang suami yang baik, dia tidak buat kelakuan tak baik, konon kerja out station, sedangkan keadaan yang sebenar dia seenaknya main cinta dengan anak gadis orang dan bawa gadis itu pergi nikah di Thai tanpa pengetahuan ibu bapa atau keluarganya.

"Masa bercinta dengan kekasihnya dahulu lebih teruk lagi, balik sentiasa lepas maghrib atau isyak alasannya sentiasa sibuk, saya terpaksa balik ke rumah sendiri. Rupa-rupanya ketika itu dia sedang hebat di lambung ombak cinta.
"Lebih daripada tiga tahun saya diperbodohkan dengan penipuan-penipuan yang dilakukan setiap hari, alasan demi alasan dibuat dan saya mendengarnya dengan penuh simpati, kononnya kerana bebanan kerja yang semakin bertambah.

"Lebih terguris hati ini apabila kita sentiasa membantu memberi dia tambahan dan pinjaman wang, pada hal wang itu digunakan dengan tujuan untuk menyakitkan hati kita sendiri yang sentiasa jujur kepadanya.
"Dia pernah berbohong terpaksa membantu ibu dan saudaranya yang susah, termasuk juga apabila adiknya hendak kahwin dahulu, tentulah kena pakai duit banyak. Jadi dia ambil kesempatan minta tolong saya berikan wang simpanan saya untuk kegunaan saudaranya. Sudahlah tak ganti balik dia gunakan setengah dari pinjaman saya itu untuk kegunaannya berseronok dengan kekasihnya. Hati siapa tak sakit?

"Saya berikan bantuan dengan niat nak tolong, kesiankan dia dalam susah, tetapi sebenarnya dia yang gunakan duit itu untuk kegunaan sendiri dan untuk berbelanja dengan wanita lain. Itulah sebabnya saya rasa tertipu.
"Tak habis di situ dia suruh saya keluarkan wang dari kad kredit semata-mata untuk memudahkan dia berbelanja. Jadi sekarang setelah kesnya terbongkar tentulah saya sakit hati, sebab saya terasa benar-benar tertipu. Lagi mendidih darah saya ini, saya kena bayar semua hutang tersebut sendiri, dia boleh lepas tangan.

"Saya rasa orang bodoh sahaja yang percaya dengan apa juga alasannya, sedangkan dia memang berniat menipu saya isterinya yang jujur sentiasa membantunya apabila dia memerlukan bantuan.
"Saya juga berpendapat tidak ada wanita yang sanggup ditipu seperti saya, kemudian menerima kemaafan suami dengan mudah sedangkan kita tahu dia bukan sahaja berbohong tetapi telah bernikah lain.
"Saya tak nafikan ada wanita lain yang boleh menerima maaf suaminya dengan mudah dengan percaya apa juga alasan yang diberikan untuk membenarkan perbuatan salah yang telah dilakukannya. Tetapi tak semua isteri mudah diperbodohkan seperti itu. Mereka ada harga diri.

"Sebenarnya saya tak membantah dia nak kahwin lagi jika itu dia rasakan paling baik untuk dirinya, dan saya rela diceraikan. Sebab saya tidak suka diperbandingkan dengan isteri barunya itu. Saya juga tidak suka anak-anak saya dibandingkan selain daripada layanan dan susunan rumah saya. Saya faham kalau isteri baru semuanya baik. Jadi supaya tidak ada pertandingan lebih baik saya bercerai.

"Saya juga tak mahu dia buat banyak dosa menipu dan berbohong sana sini kerana nak jaga hati saya dan isteri barunya, kerana dengan tujuan nak jaga hati inilah dia akan berbuat banyak pembohongan untuk menenangkan keadaan, sedangkan dia tahu dia berbohong. Buat dosa aja.
"Saya merasakan sudah tentu dia telah membuat perancangan yang baik untuk dirinya sebelum kahwin lagi. Sebenarnya saya tak percaya suami saya boleh menipu saya. Sebab semasa kahwin dulu ibu bapa saya tak pernah cakap pasal masalah rumah tangga, dan pada pandangan saya semua suami isteri duduk baik-baik sahaja, tak ada masalah.

"Seperkara lagi tentang teman-teman pejabat, mereka selalu bersekongkol melakukan penipuan demi penipuan. Mereka bersubahat mendiamkan maksiat yang mereka tahu berlaku di depan mata mereka, dengan alasan kawan, sedangkan sebenarnya mereka suka suami saya berjaya menipu sebab mereka boleh ikut contoh yang sama.

"Sekarang baru saya tahu mereka kalau cakap pasal agama berdegar-degar tetapi pembohong dan bersubahat dengan orang yang berbohong. Pernah saya tanyakan kawan-kawannya mengapa mereka tak beritahu saya perbuatan suami saya yang menipu saya kahwin lari ke Siam.
"Dengan mudah mereka memberi beberapa alasan, pertama tak mahu campur tangan dalam urusan rumah tangga orang lain, kedua dia tak mahu lihat rumah tangga kami berantakan dan ketiga tak mahu jadi penghasut.

"Sebenarnya apa yang dikatakan itu adalah alasan semata-mata, sebenarnya mereka sendiri pun teringin nak buat sama, cuma tak berani dan belum dapat calon yang sesuai. Dan saya tak nafikan belum aja jodoh.
"Sebenarnya pada saya alasan itu juga boleh digunakan untuk menjaga kebaikan rumah tangga kawan seperti memberitahu saya supaya saya boleh berjaga-jaga dan boleh menasihatkan suami saya sendiri sebelum terlambat.

Paling tidak saya boleh berjaga-jaga tidak meminjam wang banyak pada bank untuk menggalakkan suami buat perkara yang tak baik. Dan kepada kawan-kawannya itu mereka patut ingat bagaimana nasib gadis yang dijadikan isteri itu yang belum lagi didaftarkan di negara ini, apa nasib dia, apakah dia boleh beranak nanti, apa tanggapan keluarganya jika mereka tahu. Pada pandangan saya mereka bersubahat.

"Mereka membiarkan pembohongan dan penipuan berlaku di depan mata mereka dengan alasan tak mahu merosakkan rumah tangga orang lain, sedangkan mereka sebenarnya ingin menggunakan taktik yang sama kepada isteri masing-masing.
"Kerana kesedaran inilah saya rakamkan masalah saya untuk kaum wanita beringat dan jangan jadi seperti saya.

"Kepada teman-teman pejabat suami saya, jangan bersubahat, kerana melihat, mendengar pembohongan juga bererti saudara itu bersubahat menutup dosa, paling tidak tercalit sama kerana mendengar pembohongan yang dilakukan, bermakna anda juga berdosa sama.
"Kalaupun tak mahu bercakap terus terang, banyak lagi cara lain boleh disampaikan kepada saya dengan surat ke, telefon ke atau sebagainya. Paling tidak saya boleh hati-hati dan tak buat banyak hutang seperti sekarang.

"Sebenarnya hutang inilah yang menambat dan menyusahkan hidup saya, saya tak boleh 'bergerak' kerana hutang. Saya benar-benar telah diperangkap."
Demikian cerita Lina panjang lebar tentang masalah yang dihadapinya, semoga kaum wanita lebih berhati-hati, terutama tentang masalah hutang yang terpaksa dihadapinya.
Kata Lina dia bimbang dalam kegawatan ekonomi sekarang ditakdirkan syarikatnya kena tutup apa yang akan terjadi terhadapnya. Demikian juga dengan suaminya. Kerana baginya hutang memang menyusahkan hidup sesiapa sahaja.

Menurutnya lagi dia tak sakit hati jika hutang itu dia yang lakukan, tetapi kerana orang lain dan keseronokan orang lain itulah yang amat menyakitkan hatinya. Semoga kita semua lebih insaf pasal hutang.

No comments:

Post a Comment